Kamis, 03 Juli 2014

PERKARA YANG DAPAT MEMBATALKAN PUASA

Bismillahir-Rahmaanir-Rahim ..

Rasulullah s.a.w bersabda:
"مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَعَرَفَ حُدُوْدَهُ، وَتَحَفَّظَ مِمَّا يَنْبَغِيْ أَنْ يَتَحَفَّظَ، كَفَّرَ مَا قَبْلَهُ .."
"Barangsiapa mengerjakan puasa bulan Ramadhan sedang ia mengetahui batas-batas larangannya, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh menjaga diri daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya, (maka dengan itu) akan diampunkan dosanya yang telah lalu .. (1)
Orang yang mengerjakan puasa - yang wajib dan yang sunat - selain daripada dituntut mengerjakannya berdasarkan ikhlas semata-mata, ia juga dituntut mengetahui hukum-hukum syarak mengenainya, kerana dengan itulah sahaja ia dapat menjaga diri dan mengawal hawa nafsunya daripada melakukan sesuatu yang merosakkan puasanya atau merosakkan pahalanya.
Menurut huraian ulama' rahimahumullah, perkara-perkara yang membatalkan puasa terbahagi dua.
Pertama - yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja.
Kedua - yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya serta dikenakan kifarat (denda).
________________________________

1. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Ibn Hibban dalam kitab Sahihnya dari Abu Sa'id al-Khudri r.a., (Ittihaf Ahl Al-Islam, bi Khususiyat al-Siyam, 29).

Yang Membatalkan Puasa Dan Diwajibkan Mengqadhanya Sahaja:
Perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja ialah:
(1) Makan dengan sengaja, 
(2) Minum dengan sengaja. 
Jika orang yang sedang berpuasa,  makan atau minum kerana lupa, maka itu tidak membatalkan puasanya.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
30- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ نَسِيَ وَهُوَ صَائِمٌ فَأَكَلَ أَوْ شَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ. (رواه مسلم)
30- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa lupa semasa ia sedang berpuasa,  lalu ia makan atau minum,  maka hendaklah ia menyempurnakan puasanya, sebenarnya Allah jualah yang telah memberi makan dan minum kepadanya".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
Demikian juga halnya perkara-perkara lain yang membatalkan puasa,  jika dilakukan dengan tidak sengaja,  samada kerana lupa atau kerana dipaksa dan sebagainya (2), maka itu tidak membatalkan puasa. 
Selain dan itu perkara-perkara yang membatalkan puasa dan diwajibkan mengqadhanya sahaja seperti berikut:
(3) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka dengan sengaja,  sama ada melalui lubang telinga, lubang susu,  lubang kemaluan dan sebagainya dan sama ada benda itu cair atau beku.
(4) Muntah dengan sengaja. 
(5) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
(6) Kedatangan haid. 
(7) Nifas (beranak).
(8) Mabuk sepanjang hari.
(9) Pengsan sepanjang hari.
(10) Gila walau sekejap.
(11) Melakukan sesuatu yang membinasakan Islam - yang menyebabkan orang itu menjadi murtad,  sama ada dengan tutur kata - pengakuan atau dengan amal perbuatan ataupun dengan cita-cita dan iktikad kepercayaan.  (3)
______________________________

1. Sahih Muslim - bi Syarh al-Nawawi (8:53).
2. Atau kerana ia jahil akan hukumnya, disebabkan ia baharu memeluk Islam,  atau kerana tinggal di tempat yang terpencil dan jauh dari alim ulama'.
3. Perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad telah diterangkan dalam "Mastika Hadith" jil. pertama, hlm. 261.

0 komentar:

Posting Komentar

Catatan: Hanya anggota dari blog ini yang dapat mengirim komentar.

 
;